SAJIAN THE CHICKEN RICE SHOP MENIPU!



SAJIAN ISTIMEWA CHICKEN RICE SHOP YANG MENIPU!

Saya mencadangkan kepada anda supaya tidak membeli sajian makanan di The Chicken Rice Shop secara bungkus. Lebih baik anda menikmati makanan yang kononnya dikatakan istimewa itu dengan harga RM76.80 untuk empat orang itu di restoran mereka. 

Kerana, ketika itulah anda akan mula tahu betapa rimasnya anda dilayan pelayan-pelayannya yang sibuk berjaga dan lalu lalang memastikan anda tidak tercekik ketika bersantap menikmati Nasi Ayam berserta 7 lauk pilihan anda. 


Antara lauk-pauk yang disertakan bersama hidangan utama Nasi Ayam anda, 'Gado-gado' atau 'Kerabu Mangga' masam mencuka, 'Nyonya Pai Tee' entah dari mana datangnya Nyonya ini, Tofu With Oyster Cai yang dipetik dari mana, 'Ipoh Bean Sprouts' kononnya diimport dari Perak, Sai To Fish Ball dan Soup Of The Day yang berhari-hari itu. 

Tidak cukup dengan itu, sudahlah anda akan pening kepala melahap 7 lauk sajian pilihan yang ditawarkan, The Chicken Rice Shop pula dengan busuk hatinya menyuruh anda memilih satu jenis air paling manis kononnya semanis muka ayam pada logo restoran mereka. 

Pilih sajalah air yang ditawarkan contohnya Lychee Tealicious, Berrylicious, Soya Rainbow, Lime Mint Supreme, Berry Jelly Fizz dan Cendolicino. Daripada senarai ini, saya cadangkan anda memilih Cendolcino yang entah siapalah yang reka namanya. 


Minuman Cendolcino ini rasanya seperti beli cendol asli tepi jalan dengan tekstur warna dan rasa pekat manisnya menyebabkan ibu jari kaki anda terketar-ketar kemanisan seperti mahu dipotong, aduh!

Oh, hampir terlupa. Waktu saya bersantap makanan-makanan ini sebenarnya untuk sajian berbuka puasa saya dan rakan-rakan Isnin lalu. Anda bayangkanlah, belum masuk waktu berbuka pun, pelayan-pelayan The Chicken Rice Shop ini sudah hidangkan makanan anda lebih awal. 


Saya yakin, ini sebenarnya sebagai cubaan untuk mengugat keimanan saya supaya menjamah sajian makanan mereka ini sebelum waktu berbuka tiba. Sungguh licik permainan mereka. 

Namun mujurlah, iman saya masih kuat dan tepat jam 7.25 malam, pelayan-pelayan ini tanpa segan silunya memaklumkan kepada pelanggan, sudah tiba waktu berbuka. 

Jadi, bersantaplah kami dalam keadaan yang cukup bising dengan oleh dendangan lagu-lagu raya seperti esok sudah mahu menyambut Syawal. Sedangkan baru genap seminggu Ramadan waktu itu! 

Justeru, anda mempunyai pilihan untuk berbuka di The Chicken Rice Shop atau sebaliknya. Tetapi sebaiknya saya cadangkan anda turut sama menikmati pengalaman ngeri ini dan selamatlah menjamah Nasi Ayam mereka itu. 





THE CONJURING 2 - KISAH 'KEMATIAN' SEBENAR


THE CONJURING 2 - KISAH 'KEMATIAN' SEBENAR




Penggemar filem seram The Conjuring pastinya masih teringat bagaimana Ed (Patrick Wilson) dan Lorraine Warren (Vera Farmiga) menghapuskan kuasa jahat Batsheba dalam filem itu sebelum ini. Kali pertama ditayangkan, rata-rata ramai penonton genre seram mengklasifikasikan filem itu antara filem seram terbaik pernah dihasilkan. 

Tampil dengan siri kedua, The Conjuring 2 tidak salah ditempelak sebagai filem kedua paling seram pernah saya tonton di pawagam selepas filem Mama, arahan Andres Muschietti. Apa pula penceritaan selanjutnya dalam The Conjuring 2 arahan sutradara, James Wan Ini? Hasilnya, memukau kerana bersiap-sedialah untuk anda ditakutkan dengan Hantu Valak dan babak-babak seram selanjutnya.

Berbalik kepada Ed dan Lorraine yang perlu menyelesaikan kes pembunuhan dari sebuah kisah yang benar-benar berlaku dan menggemparkan Amerika iaitu, Amytville, ada pula satu lagi keluarga (Keluarga Hodgson) dari Utara Kota London yang hidup dalam ketakutan dan diganggu sejenis 'penghuni asal'  yang menamakan dirinya sebagai Billy Wilkins di kediaman rumah Keluarga Hodgson. 

Plot cerita bermula, si 'penghuni asal' kembali mencari ahli keluarganya yang menetap di situ, namun tiada. Marah dengan keadaan itu, 'penghuni asal' menganggu keluarga Hodgson dan anak perempuan keduanya, Janet Hogson (Madison Wolfe). 

Saban hari, pelbagai kejadian aneh berlaku hinggakan gangguan tersebut 'merasuki' adik beradik Janet yang lain dan menyebabkan Keluarga Hodgson buntu dan memerlukan bantuan daripada pihak gereja untuk menyingkirkan semangat jahat di kediaman mereka. 

Tidak cukup dengan itu, penonton turut disaji dengan adegan seram dan cemas yang tidak pernah ditayangkan filem-filem seram lain yang lebih bersifat klishe dan boleh diduga. Sebaliknya tidak, apabila The Conjuring 2 bijak menyusun babak mengikut aturan cerita yang mudah difahami penonton. 

Ketika Keluarga Hogson benar-benar mengharapkan bantuan, pasangan Ed dan Lorraine ditugaskan untuk memerhati kes berkenaan, namun bagi Lorraine sendiri dirinya terikat dengan ilusi kematian suaminya Ed sekiranya terus membantu keluarga malang itu. 

Memperlihatkan ilusi kematian Ed, penonton tentunya menduga saat kematian mengerikan Ed ketika mahu menyelamatkan Jannet daripada terus dirasuki Hantu Vadak yang berselindung di sebalik 'penghuni asal' kediaman Keluarga Hogson. 

Namun, filem ini bijak memanipulasi pemikiran penonton kerana tanggapan awal tentang kejadian seram yang didakwa satu penipuan dan olok-olok oleh keluarga Hogson akhirnya membuka kepada cerita benar, Hantu Valak. 

Keseluruhannya, filem ini agak bersifat realistik kerana berkisah daripada sebuah kisah benar berlaku di London. Lebih menakutkan, penonton juga diperlihatkan visual-visual pembunuhan dan rakaman suara asal terhasil daripada kisah sebenarnya. 

Bersedia untuk menjerit dan dirasuki? Selamat menonton.